UTUSAN MALAYSIA 17 Disember 2007Public Bank lancar dana hartanah hari iniKUALA LUMPUR 17 Dis. – Public Bank akan melancarkan dana hartanah yang pertama, PB Dana Asia Real Estate Income (PBAREIF) yang menawarkan peluang kepada para pelabur bagi menyertai prospek pertumbuhan sektor hartanah dan amanah pelaburan hartanah (REIT) di Asia esok. Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, PBAREIF direka bagi mengambil peluang pelaburan di pasaran-pasaran hartanah, hotel dan tempat peranginan serta REIT di Asia yang sedang berkembang. Menurut beliau, dana itu sesuai bagi pelabur-pelabur jangka sederhana hingga panjang kerana ia membolehkan mereka melabur dengan cara yang dinamik dan pelbagai meliputi jenis-jenis hartanah yang berbeza dan merentasi berbilang pasaran dan ekonomi di rantau Asia. Katanya, pasaran-pasaran hartanah di Asia disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, peningkatan pendapatan berbelanja, kadar simpanan yang tinggi dan kelonggaran peraturan-peraturan pemilikan oleh penduduk-penduduk asing. Proses perbandaran dan kemasukan ekspatriat di Asia juga menolong meningkatkan permintaan pelaburan hartanah, tambahnya. Hong Piow berkata, PBAREIF adalah dana seimbang iaitu mencapai pertumbuhan modal dan pendapatan dalam jangka sederhana hingga panjang dengan mematuhi pendekatan pengagihan aset yang seimbang, yang mana 40 peratus hingga 60 peratus nilai aset bersih (NAB) dana dilaburkan dalam ekuiti dan REITs. Dana ini akan memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat yang terlibat terutamanya dalam pelaburan dan pembangunan hartanah, hotel dan tempat peranginan, serta REITs di pasaran-pasaran domestik dan serantau bagi memberikan pertumbuhan modal kepada dana. |
UTUSAN MALAYSIA 13 Disember 2007Public Mutual jual PCIF RM1 bilionKUALA LUMPUR 13 Dis. – Public Mutual telah menjual hampir RM1 bilion Public Dana China Ittikal (PCIF) dalam tempoh tawaran dana itu yang berakhir 10 Disember lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yeoh Kim Hong berkata, dana itu mendapat sambutan baik daripada pelabur kerana ia merupakan dana Islam China yang pertama di negara ini. Selain itu, ia memberi peluang kepada pelabur untuk merasai manfaat daripada prospek pertumbuhan di negara berkenaan, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. Beliau berkata, PCIF merupakan dana ekuiti Islam yang bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang dan juga sesuai untuk pelabur yang agresif. |
UTUSAN MALAYSIA 19 November 2007Public Mutual lancar dana Islam labur di ChinaKUALA LUMPUR 19 Nov. – Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual Bhd. (Public Mutual) akan melancarkan dana Islam China pertamanya, Public Dana China Ittikal (PCIF) esok. Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, dana tersebut akan dilaburkan di rantau China. ‘‘PCIF akan mengambil manfaat daripada prospek pertumbuhan yang kukuh di rantau tersebut,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. PCIF ialah sebuah dana ekuiti Islam yang bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam sebuah portfolio pelaburan yang memenuhi kehendak Syariah. Menurut kenyataan itu, minimum 70 peratus nilai aset bersih (NAB) dana akan dilabur di rantau China iaitu di pasaran Hong Kong, China dan Taiwan. Harga terbitan/NAB PCIF ialah sebanyak RM0.2500 seunit di sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari dari 20 November hingga 10 Disember ini. Di sepanjang tempoh tawaran permulaan PCIF, bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit akan dikenakan ke atas pembelian unit PCIF oleh para pelabur. Para pelabur yang memilih untuk melabur dengan Arahan Debit Terus dengan PCIF semasa tempoh tawaran juga akan menikmati bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit selagi Debit Terus itu masih aktif. Pelaburan permulaan minimum dana ini ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100. Pelabur yang berminat boleh menghubungi mana-mana perunding unit amanah Public Mutual atau dail Talian Perkhidmatan Pelanggan 03-6279 5252 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana ini. |
UTUSAN MALAYSIA 7 November 2007Public Mutual tambah dana PSEASFKUALA LUMPUR 7 Nov. – Public Mutual Bhd. (Public Mutual) hari ini mengumumkan peningkatan saiz dana Public South- East Asia Select Fund (PSEASF) kepada lima bilion unit, berbanding sebanyak 1.5 bilion unit yang dilancarkan pada 2 Oktober lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yeoh Kim Hong berkata, pembesaran saiz dana itu dilakukan berikutan permintaan daripada para pelabur. ‘‘Permintaan terhadap PSEASF adalah sangat tinggi dengan hampir RM900 juta nilai unit telah dijual sejak dana ini dilancarkan,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini. Katanya, sambutan baik itu dicapai kerana ia memberi peluang kepada pelabur untuk mengambil manfaat daripada potensi pertumbuhan ASEAN. Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta terbesar di negara ini menguruskan sebanyak 51 dana melibatkan 1.35 juta pemegang akaun. Sehingga 31 Oktober lalu, jumlah nilai aset bersih (NAB) dana yang diuruskan oleh syarikat itu adalah sebanyak RM26.7 bilion. |
UTUSAN MALAYSIA 2 Oktober 2007Public Mutual lancar PSEASFKUALA LUMPUR 2 Okt. – Public Mutual hari ini melancarkan dana Public South- East Asia Select Fund (PSEASF) dengan saiz dana sebanyak 1.5 bilion unit. Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, PSEASF ditawarkan kepada para pelabur jangka panjang yang mahu mengambil peluang daripada potensi pertumbuhan pasaran-pasaran Asia Tenggara . Menurut beliau, dana itu bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga jangka panjang dengan melabur dalam portfolio pelaburan di pasaran-pasaran ASEAN. ‘‘Dana ini boleh melabur sehingga 70 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dana dalam pasaran-pasaran serantau terpilih. ‘‘Ia termasuk Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan pasaran-pasaran lain yang diluluskan,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Tambahnya, pendedahan ekuiti PSEASF adalah di antara 75 peratus hingga 95 peratus daripada NAB dana. Harga terbitan bagi PSEASF ialah sebanyak RM0.2500 seunit di sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari mulai hari ini dan pelaburan minimum dana itu ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum pula RM100, katanya. |
UTUSAN MALAYSIA 11 September 2007Saiz dana PFEPRF naik 3.3b
KUALA LUMPUR 11 Sept. – Public Mutual Bhd. (Public Mutual) hari ini
mengumumkan peningkatan saiz Public Dana Far-East Property and Resorts Fund
(PFEPRF) kepada 3.375 bilion unit. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yeoh Kim Hong berkata, pembesaran saiz dana itu
dilakukan berikutan permintaan permintaan daripada para pelabur. ‘‘Dana ini menerima sambutan yang baik kerana ia memberi peluang kepada para
pelabur untuk membuat pelaburan secara dinamik dan pelbagai meliputi
jenis-jenis hartanah yang berbeza di rantau Asia Pasifik,’’ katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini. Puclic Mutual merupakan anak syarikat milik penuh Public Bank. Kata Kim Hong, PFEPRF yang dilancarkan pada Julai lalu merupakan dana ekuiti
yang bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka masa sederhana
hingga panjang. Menurutnya, dana itu dilaburkan dalam syarikat-syarikat yang terlibat dengan
pelaburan dan pembangunan hartanah, pelaburan dan pembangunan hotel dan amanah
pelaburan hartanah (REITs) di pasaran domestik dan serantau. |
UTUSAN MALAYSIA 20 Ogos 2007Public Mutual lancar dana Islam luarOleh AINUL ASNIERA AHSAN KUALA LUMPUR 20 Ogos – Public Mutual akan melancarkan sebuah dana Islam luar negara iaitu Public Islamic Asia Balanced Fund (PIABF) mulai esok. Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, PIABF merupakan sebuah dana Islam yang bermatlamat menawarkan pendapatan dan pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang melalui portfolio pelaburan yang berlandaskan Syariah di pasaran-pasaran domestik dan serantau. Menurut beliau, sehingga 60 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dana ini boleh dilaburkan dalam pasaran-pasaran serantau terpilih termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Australia, New Zealand dan pasaran-pasaran lain yang diluluskan. Katanya, pendedahan ekuiti PIABF biasanya berada antara 40 peratus hingga 60 peratus daripada NAB dana. Tambah beliau, dana itu memberi peluang kepada pelabur untuk melabur dengan menggunakan pendekatan seimbang dengan pelaburan dibuat dalam saham-saham domestik dan serantau yang berlandaskan Syariah serta sekuriti-sekuriti hutang Islam dalam bahagian yang hampir sama untuk mengagihkan risiko. ‘‘PIABF sesuai untuk para pelabur yang bersifat sederhana dalam menerima risiko dan ganjaran mereka serta berminat untuk menerima pendapatan dengan pertumbuhan modal sebagai objektif kedua,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Harga terbitan PIABF ialah sebanyak RM0.2500 seunit bagi sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari dari 21 Ogos 2007 hingga 10 September 2007. Sepanjang tempoh tawaran permulaan PIABF, bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus dan NAB seunit akan dikenakan ke atas pembelian unit PIABF oleh para pelabur, kata Hong Piow. Para pelabur yang memilih untuk melabur dengan Arahan Debit Terus dengan PIABF semasa tempoh tawaran juga akan menikmati bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit selagi Debit Terus itu masih aktif. Katanya, pelaburan permulaan minimum dana ini ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100. |
UTUSAN MALAYSIA 13 Ogos 2007Jualan tiga dana ekuiti Public Mutual RM2.5 bilionKUALA LUMPUR 13 Ogos – Public Mutual Bhd. (Public Mutual), anak syarikat milik penuh Public Bank hari ini mengumumkan penjualan unit Public Dana China Select (PCSF), Public Dana Far-East Property and Resorts Fund (PFEPRF) serta Public Dana Islamic Asia Dividend (PIADF) bernilai lebih RM2.5 bilion. Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual, Yeoh Kim Hong berkata, permintaan bagi PCSF mendapat sambutan paling tinggi iaitu bernilai lebih RM1 bilion melibatkan lebih daripada empat bilion unit telah terjual sejak ia dilancarkan pada Jun lalu. ‘‘Pihak kami telah meningkatkan saiz dana PCSF kepada 6.5 bilion unit bagi memenuhi permintaan pasaran,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini. Katanya, PCSF merupakan sebuah dana ekuiti yang bermatlamat mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana dan jangka panjang dengan melabur dalam sebuah portfolio pelaburan di China, termasuk Hong Kong serta Taiwan. Menurutnya, dana hartanah dan kawasan peranginan Public Mutual yang baru dilancarkan, PFEPRF juga menerima sambutan baik dan sehingga ini, lebih RM500 juta atau lebih dua bilion unit telah dijual. Tambahnya, PFEPRF merupakan pelaburan dalam pembangunan hartanah, amanah pelaburan hartanah (REITs), pelaburan dan pembangunan hotel serta peranginan yang direka khusus untuk pelabur yang yang mengejar pertumbuhan jangka sederhana. Menurut beliau, permintaan dana dividen berlandaskan Syariah, PIADF pula, turut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih RM1.12 bilion atau 4.5 bilion unit dana tersebut berjaya dijual. |
UTUSAN MALAYSIA 13 Julai 2007Public Mutual jual dana China Select bernilai RM850 jutaKUALA LUMPUR 13 Julai – Public Mutual berjaya menjual sebanyak 3.4 bilion unit Public Dana China Select (PCSF) dengan nilai RM850 juta sejak ia dilancarkan pada 5 Jun lalu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yeoh Kim Hong berkata, saiz dana PCSF kini adalah berjumlah lima bilion unit selepas ia ditambah buat kali ketiga. ‘‘Permintaan untuk unit dana amanah ini sungguh memberangsangkan dan saiz dana PCSF sebanyak 3.375 bilion yang ditambah buat kali kedua telah habis dijual, menyebabkan kami menambah saiznya kepada lima bilion unit lagi,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. PCSF adalah dana ekuiti jangka sederhana dan jangka panjang dengan pelaburan di rantau China termasuk Hong Kong dan Taiwan. Ia juga menyasarkan syarikat-syarikat China yang tersenarai di pasaran luar negara seperti di Singapura dan Amerika Syarikat serta syarikat yang tersenarai di Bursa Sekuriti dan pasaran luar negara yang mempunyai operasi perniagaan di China. Dana ini sesuai untuk para pelabur yang agresif dan dapat menangani pasaran turun naik untuk jangka panjang bagi mencapai pertumbuhan modal. |
UTUSAN MALAYSIA 9 Julai 2007Dulu gadis pendiam kini perunding cemerlangOleh SITI ZALEHA JORIMAI
DALAM rekod penilaian bekas majikannya pernah menilai dia sebagai seorang pekerja yang baik dan cekap, tetapi lokek senyum dan berat mulut untuk bercakap. Namun, siapa sangka wanita yang dulunya cukup pendiam dan lebih suka menyendiri, kini berubah serta boleh meraih pendapatan hingga puluhan ribu melalui kerjaya yang memerlukan dia banyak bercakap dan bertemu orang. Saidatul Norhiyah Abdol, 33, sendiri sukar mempercayai dirinya mampu mencapai sehingga ke tahap sekarang. Apatah lagi apabila mengenang baru empat atau tiga tahun lepas dia sekadar seorang kerani biasa yang gaji setiap hujung bulan cukup-cukup untuk belanja sendiri dan sedikit dititip ke kampung. “Bukan tidak bersyukur, tapi selepas sembilan tahun makan gaji saya tidak nampak apa-apa yang berubah dalam hidup saya. “Bahkan, impian untuk memberi kesenangan kepada ibu bapa di kampung yang tertanam sejak sekolah lagi semakin kabur. “Setiap kali balik kampung saya lihat garisan kedut pada wajah orang tua saya bertambah. Melihat itu saja saya jadi panik, takut tak sempat menunaikan hajat untuk sekurang-kurangnya menghantar mereka ke Mekah,” kata wanita berasal dari Behrang, Perak ini. Sementelah sudah membuka kisah silam, Saidatul tidak malu mengaku dia lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang susah. Bapanya hanya berkerja kampung yang pendapatan tidak sampai pun RM300 sebulan bagi menanggung sembilan anak. “Bayangkan seterika pun kami tak mampu beli sedangkan waktu itu (sekitar tahun 1980-an) orang lain sudah ada macam-macam alat elektrik. “Setiap malam kami adik beradik akan letak baju bawah tilam supaya baju nampak licin bila ke sekolah,” katanya sayu. Sebagai anak kedua, Saidatul sanggup melupakan impian menjejak kaki ke universiti bagi memberi peluang saudara sulongnya meneruskan pengajian. Sebaliknya, dia memberanikan diri memperjudi nasib di kota bagi mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan. Sekadar berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia, dia hanya mampu meraih jawatan kerani di sebuah syarikat insurans dengan gaji yang sebahagiannya dihantar ke kampung. “Bagaimanapun, bekerja tidak menumpulkan minat saya untuk belajar. Secara sambilan, saya masuk kelas dan mengambil macam-macam jenis peperiksaan berkaitan bidang insurans dan kewangan. “Saya fikir dengan cara itu saja saya dapat sekurang-kurangnya menambah angka pada slip gaji,” katanya. Sembilan tahun berusaha, empat kali bertukar majikan, namun perubahan yang berlaku tidak seperti yang diharapkan. Saban hari jiwanya meronta untuk berbuat sesuatu yang dapat mengubah kehidupannya sekali gus nasib ibu bapa di kampung. Bagaikan diatur-atur, Saidatul berkenalan dengan Azizah Saad, salah seorang perunding unit amanah paling berjaya dan telah sampai ke tahap Pengurus Agensi Kumpulan di Public Mutual, yang kemudian mengajaknya untuk sama-sama menerokai bidang tersebut. “Mulanya saya buat secara sambilan, tapi kemudian saya fikir setakat sebelah kaki tidak akan bawa saya ke mana. Saya nekad berhenti kerja untuk menyertai unit amanah secara serius,” katanya. Kebetulan waktu itu, perkahwinan yang dibina seawal usianya 22 tahun menemui titik noktah dengan dikurnia seorang anak perempuan yang kini berusia lapan tahun. Kegagalan rumah tangga juga ibarat wake up call yang mengembalikan ingatannya pada janji yang pernah dibuat sewaktu mula berkerja dulu. “Saya pernah bertekad pada diri sendiri untuk menyenangkan orang tua saya. Tetapi jodoh sampai lebih awal membuatkan sedikit sebanyak fokus saya beralih arah. “Mungkin ini hikmah di sebalik kegagalan tersebut. Kalau pun tidak kerana janji itu, saya ada anak yang perlu diambil kira. Semua itu menjadi penyuntik semangat untuk saya bangun dan berusaha demi kelangsungan hidup kami dua beranak,” katanya. Begitu pun, kerjaya baru yang dipilih tidak semudah diduga, malah enam bulan pertama bersama unit amanah tempoh yang cukup mencabar bagi Saidatul. Bermula dengan kosong, dia banyak bergantung pada ‘mentornya’ dengan mengikut apa saja yang mereka buat. “Ibaratnya macam anak ayam mengikut ke mana saja ibunya bawa.Tapi saya tak kisah sebab masa itu memang masih mentah dan banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya. Biarpun dalam keadaan masih ‘bertatih’, selepas enam bulan pertama itu, Saidatul mampu membuat jualan sebanyak RM850,000 dengan pendapatan purata hampir mencecah lima angka sebulan. Lebih bermakna genap setahun bergelar perunding unit amanah, dia berjaya memenuhi impian menghantar orang tuanya ke Mekah menunaikan rukun Islam kelima. “Sebagai anak, saya rasa itulah detik paling bermakna dan saya bersyukur kerana dapat menghantar mereka ke Tanah Suci dalam keadaan mereka masih sihat dan kuat,” katanya. Mencecah jutaan Kini, biarpun baru dua tahun menjadi perunding unit amanah sepenuh masa, jualannya sudah mencecah jutaan ringgit dan beberapa kali memenangi cabaran yang diberikan oleh syarikat. Bagi Saidatul segala-galanya berkat kesungguhan mengikut latihan serta tunjuk ajar daripada para senior yang tidak jemu-jemu membimbingnya. Justeru, perkara yang sama dilakukan terhadap ejen-ejen baru yang dibimbingnya sekarang agar mereka dapat mengecapi kejayaan sebagaimana yang beliau nikmati. “Kerjaya ini amat bergantung dengan kerja berpasukan, selain kesediaan untuk belajar dan terus belajar,” katanya yang tampil elegan dengan jaket pendek dan seluar panjang. Dia yang kini mencapai tahap pengurus agensi telah merekrut lebih 20 ejen yang masing-masing sedang aktif mengorak langkah. Berkongsi petua kejayaan, kata Saidatul, selain mahir dengan ‘produk’ yang mahu dijual, semangat dan tekad perlu kuat serta tahan menghadapi kegagalan. Katanya, tidak semua pelanggan yang ditemui akan menerima produk yang dicadangkan, malah daripada 10 mungkin hanya dua atau tiga yang menerima. “Waktu itu kita perlu bersedia menerima penolakan, jangan cepat mengaku kalah. Saya sendiri, sudah tidak terbilang berapa kali menangis dalam kereta lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan pelanggan yang ‘lepas cakap’. “Tetapi saya akan pastikan rasa kecewa atau sedih itu habis di dalam kereta dan tidak terbawa-bawa hingga menjejaskan kerja seterusnya. “Apa yang selalu saya ingat, niat saya memberi produk yang terbaik, kalau pelanggan tak mahu itu hak mereka,” katanya yang turut mencabar golongan muda lebih-lebih yang menganggur untuk menyertai bidang tersebut sebagai permulaan mengubah hidup kepada yang lebih baik. Apakah sebenarnya unit amanah? * Skim pelaburan kolektif yang diurus secara profesional dengan mengumpulkan wang seorang individu dan ribuan pelabur lain. * Pengurus pelaburan yang pakar akan melaburkan wang tersebut bagi pihak pelanggan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan mengikut matlamat pelaburan dana tersebut * Perunding unit amanah (UTC) membantu pelabur merancang simpanan dalam tempoh sederhana (tiga tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun). * Pelan perancangan simpanan mesti bersesuaian dengan individu tersebut. * Pelaburan dalam unit amanah ada turun naik mengikut harga pasaran, tetapi risikonya rendah dan boleh mengendalikan risikonya dengan baik * UTC yang komited dan terlatih akan membantu pelanggan mencapai matlamat pelaburan tersebut. |
UTUSAN MALAYSIA 5 Julai 2007Public Mutual lancar dua dana terbaruKUALA LUMPUR 5 Julai – Public Mutual akan melancarkan dua dana baru - Public Dana Far East Property & Resorts (Public Dana Far East) dan Public Dana Islamic Select Bond (Public Dana Islamic) mulai Selasa ini. Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, Public Dana Far East, dana ekuiti yang bermatlamat mencapai pertumbuhan modal jangka masa sederhana hingga panjang. Beliau berkata, dana itu melabur dalam syarikat-syarikat hartanah, pembangunan hotel dan tempat peranginan serta amanah pelaburan hartanah (REITs) di pasaran domestik dan serantau. Dana itu ditawarkan mulai 10 Julai hingga 30 Julai 2007 dengan jumlah pelaburan permulaan minimum RM1,000 dan pelaburan tambahan RM100. Sementara itu, Public Dana Islamic iaitu dana bon Islam, akan dilancarkan pada NAB RM1.00 seunit di sepanjang tempoh tawaran selama 21 hari dari 10 Julai 2007 hingga 30 Julai 2007. Katanya, pelaburan permulaan minimum Public Dana Islamic ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100. |
UTUSAN MALAYSIA 5 Jun 2007Public Mutual tambah saiz danaKUALA LUMPUR 5 Jun – Public Mutual Bhd., anak syarikat milik penuh Public Bank, mengumumkan peningkatan saiz dana bagi Public Dana Select Bond (PSBF) daripada 500 juta unit kepada 750 juta unit, hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual, Lam Kam Yin berkata, peningkatan saiz dana sebanyak 250 juta unit itu, bertujuan untuk memenuhi permintaan pasaran yang tinggi. ‘‘Kebiasaannya bon ini tidak dibuka kepada pelabur-pelabur biasa kerana ia merupakan pasaran untuk institusi-institusi dengan nilai transaksi blok minimum RM5 juta,’’ tambah beliau. Kam Yin berkata, dana itu akan dilaburkan ke dalam portfolio pelbagai bon yang terdiri terutamanya daripada bon-bon korporat bagi menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding simpanan tetap. Menurutnya lagi, PSBF ini sesuai untuk pelabur-pelabur konservatif yang ingin menikmati kestabilan pendapat tahunan disamping jaminan modal. |
UTUSAN MALAYSIA 4 Jun 2007Public Bank lancar dana Euro Pacific pertama Khamis iniKUALA LUMPUR 4 Jun – Public Bank akan melancarkan dana Euro Pacific pertama, iaitu PB Dana Euro Pacific Equity (PBEPEF) yang diuruskan oleh anak syarikat milik penuhnya, Public Mutual, pada 8 Jun ini. Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow yang juga merupakan Pengerusi Public Mutual berkata, PBEPEF merupakan sebuah dana ekuiti agresif yang bertujuan mencapai pertumbuhan modal jangka panjang dengan melabur dalam ekuiti dan skim-skim pelaburan kolektif di pasaran-pasaran domestik dan asing. “Sehingga 98 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dana ini akan dilabur dalam pasaran-pasaran asing termasuk Eropah, Jepun, Korea, Taiwan, China, Hong Kong, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan pasaran-pasaran lain yang diluluskan. Pendedahan ekuiti dana ini biasanya berada di antara 75 peratus hingga 90 peratus daripada NABnya,’’ ujar beliau. Menurut Hong Piow, dana ini menawarkan potensi pertumbuhan jangka panjang sebuah portfolio pelbagai saham mewah, saham bertumbuh, saham yang rendah nilai daripada asasnya serta saham dividen dalam pasaran-pasaran domestik, Eropah dan serantau. PBEPEF adalah sesuai untuk para pelabur yang bersifat agresif dalam menerima risiko dan ganjaran. Harga terbitan PBEPEF adalah sebanyak RM0.25 seunit dan satu peratus unit percuma akan diberikan sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari, iaitu dari 8 Jun 2007 hingga 28 Jun 2007. Pelaburan permulaan minimum dana ini ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100. |
UTUSAN MALAYSIA 24 Mei 2007Public Mutual: SC lulus dana PIADF sehingga lima bilion unitKUALA LUMPUR 24 Mei – Public Mutual, anak syarikat milik Public Bank Bhd. telah mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi meningkatkan saiz dana Public Dana Islamic Asia Dividend (PIADF) daripada 3.375 bilion unit kepada lima bilion unit. Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual Lam Kam Yin berkata, ia merupakan kali ketiga syarikat itu meningkatkan saiz dana PIADF, sejak pelancarannya pada 3 April lalu. Sehingga kini lebih RM887.8 juta atau 3.55 bilion unit PIADF telah dijual, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. “Peningkatan saiz dana PIADF sebanyak 1.625 bilion unit akan membolehkan kami memenuhi permintaan pasaran yang kuat,’’ tambah Kam Yin. PIADF merupakan sebuah dana pendapatan ekuiti Islam yang berisiko sederhana dan menyediakan pendapatan dengan melabur dalam sebuah portfolio saham yang memenuhi kehendak Syariah dalam pasaran domestik dan serantau serta mempunyai potensi untuk menawarkan dividen yang menarik. Selain itu, sehingga 70 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dana ini boleh dilabur dalam pasaran-pasaran luar negara terpilih, termasuk Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Australia dan New Zealand. Kam Yin berkata, PIADF sesuai untuk para pelabur yang memilih risiko sederhana serta menerima pendapatan sederhana dengan pertumbuhan modal sebagai objektif kedua. |
UTUSAN MALAYSIA 10 Mei 200722 produk tempatan paling dipercayaiKUALA LUMPUR 10 Mei – Reader’s Digest hari ini telah mengiktiraf 22 jenama tempatan termasuk kategori kereta, khidmat stesen petrol, makanan dan minuman dalam satu tinjauan tahunan jenama. Bagi kategori kereta yang paling digemari, Proton memperoleh Anugerah Jenama Dipercayai Reader’s Digest, berkongsi tempat bersama-sama dengan Honda dan Toyota. Para pengguna juga lebih gemar menggunakan minyak petrol Petronas dan Shell di Malaysia berbanding jenama lain. Pengarah Pengiklanan Reader’s Digest Asia, Simon Cholmeley berkata, tinjauan dijalankan untuk jenama yang diyakini mempunyai kredibiliti yang amat baik kerana keputusan dibuat berdasarkan undian pengguna secara menyeluruh. “Kaedah pengundian dan metodologi tinjauan yang profesional membolehkan keputusan yang tepat diperoleh. “Jenama yang diyakini bermakna jenama yang sentiasa berada dalam ingatan pengguna,” kata beliau dalam majlis penyampaian Anugerah Jenama Reader’s Digest di sini. Katanya, buat pertama kalinya, Universiti Malaya menjadi universiti yang paling diyakini manakala Pusat Perubatan Gleneagles Intan Kuala Lumpur memenangi kategori perkhidmatan perubatan. Katanya, kedua-dua kategori tersebut merupakan kategori yang baru diperkenalkan pada tahun ini. Menurut Simon, kajian tahun kesembilan itu dijalankan di tujuh pasaran di Asia termasuk Malaysia, Hong Kong, India, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand untuk membuat undian melalui 43 kategori. “Pihak kami sentiasa mengemaskini data untuk memasukkan maklumat-maklumat terbaru yang berguna bagi pengguna. “Ini amat penting bagi memastikan kualiti dan imej sesuatu jenama terus meningkat dan berupaya mencapai kepuasan pengguna,” katanya. Selain itu, Amanah Saham Nasional Berhad dan Public Mutual telah memenangi kategori tabung pelaburan manakala Maybank dan Public Bank menerusi kategori bank yang dipercayai. Bagi kategori-kategori lain yang mendapat kepercayaan pengguna ialah DHL dan Poslaju mendapat keyakinan untuk perkhidmatan penghantaran barangan yang menepati waktu, Sime UEP Properties (pemaju hartanah), Giant (pasar raya), Habib Jewels dan Poh Kong (barang kemas). |
UTUSAN MALAYSIA 3 Mei 2007Public Bank lancar dua danaKUALA LUMPUR 3 Mei – Public Bank Bhd. akan melancarkan dua dana – PB Asean Dividend Fund (PBADF) dan PB Islamic Cash Management Fund (PBICMF) – hari Selasa ini dan kedua-duanya akan diuruskan oleh anak syarikat milik penuhnya, Public Mutual Bhd. Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Teh Hong Piow, dalam kenyataannya di sini berkata, PBADF adalah dana pendapatan ekuiti risiko sederhana yang akan menjana pendapatan melalui pelaburan dalam portfolio saham dalam pasaran domestik dan serantau yang menawarkan pulangan dividen yang menarik. |
UTUSAN MALAYSIA 4 April 2007Public Mutual umum kenaikan pangkat Yeoh Kim HongKUALA LUMPUR 3 April – Public Mutual hari ini mengumumkan kenaikan pangkat Yeoh Kim Hong sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif. Public Mutual dalam kenyataannya di sini berkata, Kim Hong menyertai Public Mutual pada tahun 1996 dan mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri unit amanah. Pada tahun 1999, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar untuk Bahagian Kewangan dan Operasi sebelum dinaikkan pangkat kepada Pengurus Besar Kanan pada tahun 2004. Beliau merupakan ahli kepada Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MACPA) dan juga seorang akauntan bersekutu dengan Institut Akauntan Malaysia dan juga Perancang Kewangan Bertauliah (CFP). |
UTUSAN MALAYSIA 30 Mac 2007Public Mutual: Agih enam sen untuk dua danaKUALA LUMPUR 30 Mac – Public Mutual Bhd. mengumumkan agihan kasar sebanyak enam sen seunit, masing-masing bagi Public Regular Savings Fund (PRSF) dan Public Aggressive Growth Fund (PAGF). Pengerusinya Tan Sri Teh Hong Piow dalam satu kenyataan hari ini berkata, nilai aset bersih PRSF adalah 68.4 sen dan 86.12 sen bagi PAGF sehingga pada 26 Mac, 2007. Beliau berkata, PRSF dan PAGF merupakan dana ekuiti yang dilancarkan pada April 1994. ‘‘PRSF menjana pulangan lima tahun sebanyak 82.2 peratus dan PAGF, 87.52 peratus untuk tempoh yang berakhir pada 16 Mac, 2007,” kata beliau. Katanya, PRSF bersesuaian untuk pelabur yang gemar pulangan risiko sederhana. |
UTUSAN MALAYSIA 28 Mac 2007Public Mutual lancar dana baruKUALA LUMPUR 28 Mac - Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual akan melancarkan sebuah dana dividen Islam luar negara, Public Dana Islamic Dividend (PIADF) pada 3 April ini. Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, PIADF merupakan dana pendapatan ekuiti Islam berisiko sederhana dengan matlamat menyediakan sebuah portfolio saham yang memenuhi kehendak Syariah di dalam dan luar negara. “Sehingga 70 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dana ini boleh dilaburkan di pasaran luar negara terpilih termasuk Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Australia dan New Zealand,” kata beliau dalam kenyataannnya di sini hari ini. |
UTUSAN MALAYSIA(keluarga) 12 Mac 2007Azizah pernah ‘cuci rambut’ kawan untuk cari duit poket
Mukadimah Terikat dengan pelbagai komitmen, keinginan untuk berubah kerjaya kerap terbantut apatah lagi apabila gagal mencari kerjaya lain yang sesuai. Begitupun, bak kata Pengurus Agensi Kumpulan (GAM) Public Mutual, Azizah Saad, 39, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Setiap perubahan yang ingin dilakukan pasti ada risiko, terpulang kepada kemahuan dan keazaman untuk menjayakannya. Ini juga adalah antara kunci kejayaan ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, Sharifah Aisyah Akmal Syed Ahmad Akmal, 14, Syed Aiman Akmal, 12, dan Syed Aniq Akmal, sehingga meraih gelaran sebagai perunding unit amanah nombor satu bagi bumiputera dan ke dua terbaik bagi keseluruhan di Public Mutual. Ikuti temu bual bersama wartawan, Siti Zaleha Jorimai dan jurugambar, Halim Khalid bersama wanita cemerlang ini. Keluarga: Apakah sebenarnya unit amanah? Azizah: Unit amanah ialah skim pelaburan kolektif yang diurus secara profesional dengan mengumpulkan wang seorang individu dan ribuan pelabur lain. Pengurus pelaburan yang pakar kemudian akan melaburkan wang tersebut bagi pihak pelanggan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan mengikut matlamat pelaburan dana tersebut Apa pula peranan perunding unit amanah (UTC) seperti anda? Secara profesionalnya, kami bolehlah dikatakan perunding perancang kewangan. Kami membantu individu merancang simpanan mereka dalam tempoh sederhana (tiga tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun). Setiap orang mempunyai matlamat berbeza. Di sinilah peranan kami bermula, dengan memberi pelan perancangan simpanan yang bersesuaian dengan individu tersebut. Kami sekadar memberi panduan. Pilihan dan bentuk simpanan masih terpulang kepada individu berkenaan. Memanglah pelaburan yang dibuat ada turun naik mengikut harga pasaran, tetapi risikonya amatlah rendah dan kita boleh mengendalikan risikonya dengan baik UTC yang komited dan terlatih akan membantu pelanggan mencapai matlamat pelaburan tersebut. Mungkin anda ada panduan dalam memilih unit amanah yang terbaik? Pertamanya, individu tersebut perlu memahami objektif simpanan tersebut sama ada untuk pendidikan, pembelian harta, simpanan untuk hari tua dan sebagainya. Seterusnya, mereka mesti bijak mencari syarikat pengendali unit amanah yang konsisten dalam memberi pulangan dan keuntungan. Komitmen seorang UTC juga penting bagi individu tersebut mendapat khidmat nasihat yang terbaik terhadap pelaburan mereka. Bagaimana mahu dari segi membina kerjaya sebagai UTC berjaya? Kerjaya ini menjanjikan pendapatan mengikut seberapa banyak anda mahu. Apa yang penting kesungguhan dan kesanggupan untuk berkerja keras kerana kerjaya ini adalah perniagaan anda dengan modal serendah RM247.50 (yuran peperiksaan Persekutuan Pengurusan Unit Amanah Malaysia sebagai lesen menjadi UTC). Dalam pada masa sama, pastikan syarikat yang disertai mempunyai catatan rekod yang cemerlang dan konsisten dalam memberi keuntungan kepada perunding dan pelabur. Bagi saya ada tiga kunci utama untuk berjaya dalam bidang ini iaitu komitmen, boleh menerima tunjuk ajar dan keinginan atau kemahuan yang tinggi. Dengan ketiga-tiga ciri ini sesiapa pun boleh buat tidak kira lepasan universiti atau lulus sekadar lulus Sijil Pelajaran Malaysia (kelayakan minimum). Boleh ceritakan perjalanan anda dalam mencapai kejayaan seperti sekarang? Selepas tamat kursus kesetiausahan di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) pada 1989 saya sempat bekerja sebagai setiausaha di bank. Sekian lama bekerja di situ, saya sedar kerja makan gaji tidak membawa saya ke mana-mana. Saya kuat percaya untuk kaya hanya dengan berniaga. Dalam Islam sendiri menyebut sembilan daripada 10 rezeki melalui perniagaan. Sebenarnya, dari zaman sekolah lagi saya sudah pandai cari duit sendiri. Saya bekerja di restoran dengan umpah RM4. Keluarga saya orang susah, bapa kerja nelayan dan emak pula suri rumah. Abang dan kakak saya tidak berpeluang bersekolah tinggi semata-mata untuk memberi laluan kepada adik-adiknya mendapat pendidikan yang lebih baik. Ketika ditawarkan masuk ITM, berdikit-dikit ayah kumpul duit untuk bayar yuran dengan dibantu abang. Masa di kolej juga saya cuba cari duit sendiri. Saya ‘ambil upah' mencuci rambut kawan-kawan, dapat 50 sen seorang, lepaslah duit makan. Saya pernah juga beli nasi lemak di luar kemudian saya jual balik pada kawan-kawan di kolej dengan mengambil untung sedikit. Walaupun apa yang saya lakukan nampak kecil, sebenarnya ia memberi pengalaman dan pengajaran berguna pada saya terutama dalam memahami dunia perniagaan. Sebelum menyertai unit amanah, segala bentuk perniagaan saya buat daripada jualan langsung hingga kepada menjadi agen insurans. Ketika itu walaupun tidak mempunyai ramai kenalan di Kuala Lumpur, saya beranikan diri menegur dan menghubungi sesiapa saja yang berpotensi menjadi pelanggan saya. Cubaan menjadi agen insurans berhasil sehingga meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan. Ketika itu saya mengambil keputusan berhenti kerja tetap kerana tidak mampu mengimbangi dua pekerjaan sekali gus. Ketika situasi insurans kurang memberangsangkan disebabkan kejatuhan ekonomi pada 1998, pendapatan saya merosot sehingga ke RM1,500. Saya nanik, tetapi bernasib baik mendapat peluang menjadi UTC selepas diperkenalkan oleh seorang rakan. Apakah cabaran yang dihadapi selepas menyertai unit amanah? Saya menyertai bidang ini dengan pengetahuan yang kosong dan tak tahu apa yang saya jual. Namun, saya punya keinginan yang kuat dan berusaha mendalami setiap aspek perniagaan ini. Selepas melalui saat jatuh bangun, Alhamdulillah, berkat kerja keras dan kesungguhan akhirnya berhasil. Pada tahun lepas saja jualan kumpulan saya mencecah RM122 juta. Saya mempunyai seramai 200 UTC dan seorang GAM terus di bawah saya. Saya menyimpan cita-cita untuk menghasilkan 50 GAM dalam tempoh 10 tahun lagi. Saya yakin ia mampu dicapai jika ada kesungguhan dan keazaman.
Apa resipi kejayaan anda sehingga ke tahap sekarang? Sebagai UTC , pertama sekali sanggup berhadapan dan menerima risiko ditolak. Saya selalu ingatkan kepada anak-anak didik saya bahawa penolakan bukanlah sesuatu yang peribadi sehingga boleh menyebabkan kita jatuh. Sebaliknya, dijadikan pendorong untuk terus berusaha. Keduanya, saya memilih orang yang tepat untuk saya rekrut. Memilih orang yang tepat tidak bermakna yang berpendidikan tinggi saja sebaliknya, mereka yang menunjukkan kesanggupan untuk berusaha. Kalau diletakkan sasaran dia akan memastikan sasaran itu dapat dicapai. Sebagai ketua yang baik saya juga perlu bijak untuk memberi motivasi kepada orang di bawah saya untuk terus bersemangat. |
UTUSAN MALAYSIA 28 Februari 2007Public Bank lancar dana pasaran wang jualan borongKUALA LUMPUR 28 Feb. – Public Bank akan melancarkan dana pasaran wang jualan borong, dikenali sebagai PB Dana Cash Plus (PBCPF) mulai esok. Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, PBCPF merupakan dana pasaran wang jualan borong berisiko rendah yang sesuai untuk para pelabur moden yang mahu meraih pendapatan semasa sambil mengekalkan kestabilan modal. Dana itu akan diuruskan oleh Public Mutual, anak syarikat milik penuh Public Bank. Di bawah dalam Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, ‘pelabur-pelabur moden ' adalah para individu yang mempunyai jumlah aset bersih persendirian melebihi RM3 juta atau sama nilainya dalam mata wang asing atau syarikat-syarikat yang mempunyai jumlah aset bersih melebihi RM10 juta atau sama nilainya dalam mata wang asing berasaskan akaun yang terkini diaudit; atau skim- skim unit amanah atau skim pelaburan yang ditentukan. Beliau dalam kenyataannya di sini berkata, pelaburan permulaan minimum PBCPF ialah RM1 juta dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100,000. ‘‘Harga terbitan i dana ini adalah RM1 seunit dan tanpa sebarang bayaran perkhidmatan. Yuran pengurusannya ditetapkan pada 0.375 peratus setahun daripada nilai aset bersihnya,’’ kata beliau. |
UTUSAN MALAYSIA 26 Februari 2007Public Mutual tawar satu peratus unit percumaKUALA LUMPUR 26 Feb. – Public Mutual Bhd., anak syarikat milik penuh Public Bank, akan menawarkan satu peratus unit percuma kepada semua pelaburan baru dalam dana ekuiti dan dana seimbang sempena Kempen Penghargaan Anugerah Tahun 2007 selama 21 hari mulai 1 Mac ini. Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, kempen itu diadakan sempena kejayaan Public Mutual memenangi 21 anugerah pada tahun 2007 dalam Anugerah Dana Malaysia The Edge-Lipper dan Anugerah Dana Pelaburan Malaysia The Star/Standard & Poor’s. “Kempen itu terbuka kepada semua dana ekuiti dan seimbang Dana Siri Public dan Dana Siri PB (kecuali Public Dana Ittikal yang telah ditutup,” kata beliau dalam kenyataannya di sini. Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta yang terbesar di negara ini dan mengurus sebanyak 38 dana bagi 900,000 pemegang akaun, katanya. Sehingga 31 Januari lalu, nilai aset bersih dana yang diuruskan oleh syarikat itu adalah berjumlah RM17.1 bilion. |
UTUSAN MALAYSIA 12 Februari 2007SC pendek proses lancar dana amanahKUALA LUMPUR 12 Feb. – Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan melaksanakan peraturan berasaskan pendedahan (DBR) mulai 1 Mac ini bagi memendekkan proses pelancaran dana saham amanah kepada 21 hari berbanding 90 hari sebelum ini. Pengerusinya, Datuk Zarinah Anwar berkata, melalui peraturan baru itu, industri saham amanah dijangka berada pada kedudukan yang lebih baik bagi bertindak balas terhadap perubahan aliran pasaran. “Pelaksanaan DBR unit saham amanah akan mengurangkan masa kelulusan dana, mendaftar surat ikatan dan prospektus saham amanah kepada 21 hari. “Pengurangan masa yang banyak berbanding peraturan berasaskan merit yang mengambil masa antara 60 hari hingga 90 hari ketika ini membabitkan mengkaji semula proses permohonan dan pendaftaran,” katanya. Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Dana Malaysia The Edge-Lipper 2007 di sini hari ini. Pada majlis itu, Public Mutual Bhd. dipilih untuk menerima Anugerah Dana Malaysia The Edge- Lipper 2007 untuk kategori Kumpulan Dana Ekuiti Tiga-Tahun Terbaik. Zarinah menambah, jika sesuatu dana itu menampil ciri-ciri yang unik atau memerlukan pengecualian daripada garis panduan sedia ada, syarikat pengurusan unit saham amanah perlu mengadakan rundingan awal dengan SC. Katanya, rundingan awal itu akan membolehkan badan kawal selia itu mengkaji semula ciri-ciri produk baru dalam usaha memastikan kesesuaiannya kepada pelabur runcit. Zarinah berkata, kajian berhemat masih perlu dilakukan bagi memastikan syarikat pengurusan unit saham amanah mendedahkan semua maklumat yang diperlukan pelabur untuk membuat keputusan pelaburan. Katanya, SC tidak akan lagi mengkaji semula merit sesuatu permohonan dan pihaknya boleh memberi tumpuan untuk memastikan pendedahan yang dilakukan dalam prospektus adalah relevan dan tepat |
UTUSAN MALAYSIA 5 Februari 2007Public Mutual tambah saiz danaKUALA LUMPUR 5 Feb. – Suruhanjaya Sekuriti (SC) meluluskan cadangan Public Mutual Bhd., sebuah anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd., untuk meningkatkan saiz Public Far-East Dividend Fundnya (PFEDF) kepada lima bilion unit daripada 3.5 bilion unit. Ketua Pegawai Eksekutif Lam Kam Yin berkata, peningkatan saiz dana itu akan membolehkan syarikat itu menampung permintaan pasaran yang kukuh. “Ini adalah kali ketiga syarikat itu meningkatkan saiz dana PFEDF selepas pelancarannya pada 20 November 2006,” katanya. Sehingga ini, lebih RM858 juta atau lebih 3.4 bilion unit dana itu telah terjual. PFEDF adalah sebuah dana pendapatan ekuiti yang memberikan pendapatan dengan melabur dalam satu portfolio saham dalam pasaran domestik dan serantau yang menawarkan atau berpotensi untuk menawarkan pulangan dividen yang menarik. |
UTUSAN MALAYSIA 9 Januari 2007Tiga Tan Sri raih anugerah The BrandLaureateKUALA LUMPUR 9 Jan. – Tan Sri Teh Hong Piow, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping dan Tan Sri Lim Kok Wing dipilih sebagai penerima Anugerah Personaliti pada Majlis Gala Anugerah The BrandLaureate 2006/2007 di sini malam tadi. Yayasan Asia Pacific Brands merupakan penganjur anugerah The BrandLaureate itu. “Ketiga-tiga mereka ini merupakan ikon jenama dalam bidang masing-masing dan mereka membanggakan Malaysia dalam mempromosikan negara melalui organisasi yang mereka wakili,” kata Ketua Pegawai Eksekutif The BrandLaureate, Dr K.K. Johan. “Mereka mempunyai pengalaman yang amat bernilai untuk dikongsi dengan kita dan bagi rakyat Malaysia untuk mempelajari dari mereka,” kata beliau. Hong Piow merupakan Pengerusi Public Bank, Yeoh adalah Pengarah Urusan YTL Corporation Bhd. manakala Kok Wing pula personaliti perniagaan dan Presiden LimKokWing University College of Creative Techonology. Sebanyak 71 pemenang dipilih berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan yang terdiri daripada strategi jenama, identiti, budaya, ekuiti serta prestasi dan komunikasi bersepadu. Antara pemenangnya ialah AirAsia Bhd. (syarikat penerbangan tambang murah); Boh (makanan dan minuman); dan Suria KLCC (kompleks membeli belah runcit). Pemenang lain ialah FNN Diaries, Munchy, Starhill Gallery, Carcosa Seri Negara dan Restoran Seri Melayu. Pemenang penjenamaan koporat ialah KLIA (pengangkutan udara), MISC (perkapalan), Universiti Lim Kok Wing (pendidikan), MPH (runcit), Telekom Malaysia Bhd. (telekomunikasi); dan Tenaga Nasional Bhd. (tenaga dan utiliti). Pemenang lain ialah Westport, Naza, Nestle, ICI, Permodalan Nasional Bhd., Public Mutual, Public Bank, Petronas dan Pantai Hospital. |
UTUSAN MALAYSIA 5 Januari 2007Public Bank lancar dua dana baruKUALA LUMPUR 5 Jan. – Public Bank akan melancarkan dua dana baru, PB Dana Islamic Asia Equity (PBIAEF) dan PB Dana Cash Management (PBCMF) pada hari Isnin ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lam Kam Yin berkata, kedua-dua dana itu akan diuruskan oleh anak syarikat milik penuhnya, Public Mutual. “PBIAEF merupakan sebuah dana ekuiti agresif Islam yang boleh dilaburkan sehingga 80 peratus daripada nilai aset bersihnya (NAB) dalam pasaran-pasaran luar negara,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini. Katanya, antara negara yang dipilih bagi pelaburan dana itu ialah Korea Selatan, China, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Australia, New Zealand, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. Menurutnya, PBIAEF bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan modal jangka panjang dengan melabur dalam saham-saham mewah serta memenuhi kehendak Syariah di pasaran domestik dan serantau. Tambahnya, PBIAEF memberi peluang kepada orang ramai melabur dalam sebuah portfolio pelaburan Syariah yang terdiri daripada pelbagai saham mewah, saham indeks, saham bertumbuh, saham lebih rendah nilai daripada asasnya serta saham dividen yang tersenarai di bursa saham. Beliau berkata, harga terbitan PBIAEF ialah RM0.25 seunit dan satu peratus unit percuma akan diberikan sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari dari Isnin ini hingga 28 Januari 2007. Sementara itu, katanya, PBCMF merupakan sebuah dana pasaran wang yang diuruskan secara aktif bagi menyediakan kecairan dan pendapatan semasa serta mengekalkan kestabilan modal. Jelasnya, dana tersebut merupakan pelaburan jangka pendek sebelum melabur atau menukar balik kepada dana ekuiti, seimbang atau bon. Harga terbitan PBCMF ialah sebanyak RM1.00 seunit semasa tempoh tawaran permulaan selama satu hari bermula Isnin ini, katanya lagi. Tambahnya, pelaburan permulaan minimum bagi PBCMF itu adalah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM1,000. |
UTUSAN MALAYSIA 3 Januari 2007Public Mutual isytihar agihanKUALA LUMPUR 3 Jan.– Anak syarikat Public Bank, Public Mutual Bhd., mengisytiharkan pengagihan kasar dan pecahan unit bagi dana-dananya. Ia mengisytiharkan 6.5 sen seunit bagi pemegang unit Public Savings Fund (PSF) dan 2.5 sen seunit serta pecahan unit 1:8 (seunit bagi setiap lapan unit yang dipegang) untuk pemegang unit Public Focus Select Fund (PFSF). Pengagihan dan pecahan unit itu adalah bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2006, kata Public Mutual dalam satu kenyataan hari ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lam Kam Yin, berkata, PSF adalah dana ekuiti yang bertujuan meraih peningkatan modal jangka panjang dan pada masa yang sama menghasilkan tahap pendapatan yang munasabah. Bagi PFSF, ia adalah dana ekuiti yang bertujuan mencapai pertumbuhan modal melalui pelaburan dalam syarikat saiz sederhana berdasarkan permodalan pasaran dari sektor ekonomi yang pelbagai, kata Kam Yin. Public Mutual, syarikat amanah saham swasta terbesar di negara ini menguruskan 34 dana bagi lebih 850,000 pemegang akaun. Keseluruhan nilai aset bersih (NAV) dana yang diuruskan berjumlah lebih RM15.5 bilion setakat 30 November 2006. |